13 February, 2012

CAKAR AYAM

Minggu lepas saya ada membaca satu rencana tentang makanan tradisional ini di surat khabar KOSMO.  Betapa makanan ini telah menjadikan seorang wanita di Johor menjadi pengeluar Cakar Ayam yang terkenal hingga seorang pelanggan dari Kuala Lumpur sanggup datang untuk membeli cakar ayamnya.

Membaca rencana itu serta merta saya teringat jiran saya semasa keluarga saya menetap di Jalan Daud. Muar.  Jiran saya ini merupakan sepasang suami isteri Pak Top dan arwah isterinya Mak Piah.  Dari saya masih bersekolah menengah lagi hingga keluarga saya berpindah ke Sg Abong, Pak Top dan AlMarhumah Mak Piah merupakan jiran yang paling rapat sudah seperti saudara sendiri.  Keluarga saya dan keluarga Pak Top saling menjaga (take care) antara satu sama lain.

Semasa Pak Top masih berkerja, beliau dan arwah isterinya membuat jualan makanan tradisional Cakar Ayam dan kerepek ubi kayu yang disira dengan gula.  Saya masih ingat lagi cakar ayam ini menjadi kegemaran saya kerana rasanya yang sangat enak apatah lagi bila di makan semasa ianya masih suam2 kuku lagi.  Apabila saya hendak ke kedai runcit saya akan lalu di rumah Pak Top dan apabila melihat beliau sedang membuat cakar ayam ini saya pasti akan singgah untuk membelinya.  Yang tak sedapnya kerap kali beliau suami isteri tidak mahu menerima duit saya.  Dalam erti kata lain dapat free lah.  Kadang2 malu rasanya hendak  melintasi rumahnya kerana sekiranya semasa  melintas itu mereka sedang memasak cakar ayam dan kerepek ubi ini, pasti saya akan dipanggil untuk diberikan makanan ringan ini.

Begitu sekali peribadi yang mulia suami isteri ini yang tidak bolih saya lupa.  Apabila anak2 mereka tiga orang semuanya dan semuanya lelaki sudah berkerja dan berumahtangga tinggallah mereka berdua suami isteri.  Dan Pak Top dan arwah Mak Piah tidak lagi menjual kueh tradisional ini.  Yer lah anak2 semua mempunyai pekerjaan yang baik dan tentunya sudah mampu membantu ibu bapa mereka.  Dari rumah saya pasti akan terdegar gelak ketawa mereka yang melambangkan kebahagiaan mereka berdua.  Memang mereka amat bahagia.  

Satu lagi yang saya tidak bolih lupa AlMarhummah Mak Piah ialah ringan tulangnya.  Pada bila2 masa sahaja jiran2 sekampung atau keluarga saya mengadakan kenduri kendara pagi2 lagi arwah sudah sampai dengan sebilah pisau ditangannya.  Beliau akan membantu apa saja persediaan untuk majlis kenduri kami. Dan yang paling saya tidak akan lupa. apabila saya sampai dari Kuala Lumpur bercuti beliau akan datang ke rumah bertanya kabar.  Sepatutnya saya yang pergi bertanya kabar kepadanya.  Begitulah baiknya arwah.

Saya menerima berita kematian Mak Piah dengan hati yang sayu dan sedih.  Anak saudara saya Nadia yang menalifon saya menangis memberitahu berita sedih ini.  Ia amat mengejutkan sebab arwah tidak mengidap sebarang penyakit.  Arwah sama seperti ibu saya sudah pelupa dan nyanyuk, itu saja.  Melalui kakak saya, saya dimaklumkan arwah jatuh di bilik air sewaktu hendak mengambil wuduk solat Maghrib.  Pak Top yang sakit kaki tidak terdaya untuk mengangkat isterinya dan dalam keadaan panik beliau berjalan dengan kaki yang terdengkot2 ke surau yang agak jauh juga dari rumahnya untuk meminta pertolongan.  Apabila ambulan sampai Mak Piah sudah nazak dan meninggal beberapa saat selepas itu.  

Bagi kakak saya "kalau lah" ... ya kalaulah kami masih berjiran adakah Mak Piah bolih diselamatkan.  Tetapi hidup dan mati kita telah ditetapkan.  Kalau sudah tiba masanya tidak sedetik pun akan tertangguh.  Setelah pemergian arwah isterinya Pak Top kini tinggal di Dengkel bersama anak bongsunya Jalil.  Entah bila saya dapat bersua kembali dengan beliau.  Hasrat untuk mendapatkan resepi mee bandung dari beliau belum kesempaian.  Pak Top memang pandai membuat mee bandung dengan ramuan yang dibuatnya sendiri.

Dari membaca rencana cakar ayam yang telah digubah selari dengan peredaran masa telah mengimbau kenangan lama.  Moga roh AlMurhamah Mak Piah @ Rahmah Long dalam keadaan aman dan ditempatkan di sisi orang2 yang beriman.  AlFatihah.
JUMPA LAGI ....

No comments:

Post a Comment